PRK Pasca PRU-14: Hargai Sokongan, Teruskan Khidmat

PRK Pasca PRU-14: Hargai Sokongan, Teruskan Khidmat

Kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kimanis yang telah diumumkan pada 18 Januari 2020 yang lepas sememangnya telah menaikkan semangat para ahli parti komponen dan penyokong Barisan Nasional secara keseluruhannya.

Bermula dengan kemenangan calon Barisan Nasional, Ramli Mohd Nor di kerusi Parlimen Cameron Highlands, Zakaria Hanafi di kerusi DUN Semenyih (Selangor), Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hassan di kerusi DUN Rantau (Negeri Sembilan), Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng di kerusi Parlimen Tanjung Piai dan terbaru kemenangan Datuk Mohamad Alamin di kerusi Parlimen Kimanis, memperlihatkan Barisan Nasional masih lagi diharapkan sebagai pembawa obor aspirasi rakyat, khususnya dalam memperjuangkan isu-isu yang berkaitan dengan rakyat kelas menengah, golongan B40 dan juga masyarakat di luar bandar.

Kita melihat deruan sokongan dari rakyat yang memberi kemenangan kepada Barisan Nasional, merupakan isyarat bahawa gabungan ini masih lagi relevan dan mampu menjadi penyambung lidah rakyat dalam pelbagai isu. Syabas dan tahniah sewajarnya diucapkan kepada para calon, jentera, kepimpinan dan penyokong Barisan Nasional atas usaha dan pengorbanan mereka dalam usaha untuk mengecapi kemenangan demi kemenangan ini.

Sungguhpun kejayaan demi kejayaan yang ditempa ini boleh dijadikan sebagai pembakar semangat kepada kita semua, jangan kita lupakan tanggungjawab lebih besar yang dipikul oleh semua ahli parti komponen Barisan Nasional dalam memperjuangkan suara keramat rakyat.

Walaupun kita tidak lagi memegang tampuk pemerintahan di peringkat persekutuan, kita harus sentiasa berada dekat di hati masyarakat dengan mencari langkah yang lebih kreatif dalam memberikan khidmat kepada masyarakat secara keseluruhannya.

*“Pendekatan Realistik”*

Jika kita melihat secara keseluruhan antara faktor kemenangan Barisan Nasional di dalam 5 pilihan raya kecil yang telah berlangsung, kita akan dapati, kelebihan calon Barisan Nasional berbanding calon dari parti lain adalah pendekatan realistik yang diketengahkan. Kita tidak menjual janji atau sebarang ikrar, tetapi setiap kali calon Barisan Nasional dibawa untuk ke program-program rapat umum, rakyat diberi peluang untuk mendekati mereka secara terus dan jelas.

Melihat situasi semasa, rakyat Malaysia secara keseluruhannya tidak lagi termakan dengan retorik ataupun janji-janji tertentu yang ditabur oleh ahli-ahli politik, mereka mahukan pendekatan yang lebih realistik dan jalan penyelesaian yang komprehensif dalam menangani permasalahan harian yang dihadapi oleh mereka. Ini termasuk memilih wakil yang benar-benar faham akan kehendak penduduk lokal dan mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat setempat.

Keupayaan yang dipertontonkan oleh jentera Barisan Nasional juga harus diberikan pujian, kerana sungguhpun bergerak dengan pelbagai kekangan, sokongan padu tetap diberikan kepada calon-calon yang bertanding, tidak kira di mana sahaja mereka berada. Jentera Barisan Nasional bergerak tanpa memikirkan kepentingan peribadi dan pengorbanan yang mereka laksanakan amat dihargai oleh kita semua.

Tuntasnya, bagi para penyokong dan kepimpinan Barisan Nasional, kemenangan yang kita kecapi dalam setiap Pilihan Raya Kecil pasca PRU-14 ini haruslah kita raikan dengan perasaan syukur dan rendah diri. Kemenangan demi kemenangan ini adalah petanda bahawa kebangkitan semula Barisan Nasional di hati rakyat. Kita perlu mempersiapkan diri kita dengan terus memberikan khidmat yang terbaik demi membina masa hadapan sebuah negara yang gemilang.

Dato’ Sri Wan Rosdy Bin Wan Ismail

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang

Leave a comment