Produk Kesenian Pahang Bakal Diberi Nafas Baru

Produk Kesenian Pahang Bakal Diberi Nafas Baru

Bergambar kenangan. Datuk Seri Norol Azali Sulaiman bersama penggiat seni di Majlis Inovasi Puisi di Gelanggang Seni Warisan, Kuantan.

Kuantan: Bagi membantu mempromosikan produk kesenian Pahang khususnya kepada generasi muda, Kerajaan Negeri percaya ia boleh dilakukan melalui kesinambungan polisi dan penjenamaan semula.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman, berkata kerajaan negeri sentiasa melihat kesenian masyarakat Pahang sebagai antara aset terpenting dalam pembentukan nilai baik dalam kehidupan masyarakat ketika ini.

“Kita tidak dapat menafikan kepentingan produk kesenian, terutamanya seni persembahan dalam menjaga warisan sejak zaman berzaman.

“Kerajaan Pahang akan terus memberikan kerjasama kepada semua pihak (penggiat) yang aktif mempromosikan dan memelihara seni budaya negeri ini.

Beliau turut menjelaskan produk kesenian Pahang mempunyai peminat dan nilainya.

“Jadi adalah perlu untuk kita (kerajaan negeri) dengan kerjasama pihak Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) serta aktivis mencari jalan untuk menjenamakan semula produk (kesenian) ini untuk menarik perhatian generasi muda tanpa mengabaikan keaslian produk seni itu sendiri,” katanya pada Majlis Inovasi Puisi di Gelanggang Seni Warisan, Kuantan, malam semalam.

Pada majlis yang sama, Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN), Dayang Kartini berkata pihaknya mempunyai data mengenai jumlah penggiat seni di Pahang dan ia akan dikemaskini untuk memudahkan proses penjenamaan dilakukan.

Pihaknya turut bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri serta penggiat seni di Pahang untuk menjenamakan semula produk ini yang mempunyai nilai komersial sebelum produk ini dipinggirkan.

“Saya difahamkan banyak produk kesenian yang makin dilupakan penduduk Pahang, terutamanya generasi muda… mungkin ada antaranya (penggiat seni) sudah tidak aktif atau meninggal dunia, jadi tidak ada pihak meneruskan atau mewarisi bakat dalam bidang kesenian itu.

“Perkara ini kita akan teliti kemudian dan satu pertemuan (perbincangan) dengan kerajaan Pahang boleh dilakukan dalam masa terdekat.

“Ini bertujuan untuk merangka atau mencari jalan bagi memastikan ada kesinambungan usaha untuk semua produk kesenian yang ada di negeri ini dapat diangkat semula khusus untuk tatapan generasi baru,” katanya.

Oleh: Admin

Leave a comment