Projek Perumahan Makmur Gahai Jaya Akan Dibina

Projek Perumahan Makmur Gahai Jaya Akan Dibina

Lipis, 9 September – Kerajaan Negeri telah meluluskan projek Rumah Makmur terbaharu yang diberi nama Perumahan Makmur Gahai Jaya yang berkeluasan 6.25 ekar dengan pembinaan 90 unit rumah.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata,  projek perumahan ini akan melibatkan tiga fasa dengan setiap fasa akan dibina 30 unit.

Beliau turut berkata, projek ini dijangkakan siap keseluruhannya dalam tempoh dua tahun daripada sekarang iaitu pada tahun 2021.

“Sepertimana kita semua sedia maklum, projek Rumah Makmur merupakan lanjutan kepada usaha Kerajaan Negeri menyediakan perumahan mampu milik di bawah PR1MA Pahang…

“Sebagai Kerajaan Negeri yang sentiasa mengambil berat atas kebajikan serta keluh-kisah rakyat, maka Kerajaan Negeri pun memperkenalkan pula projek Rumah Makmur namun jenisnya tidak lagi rumah berkembar setingkat tetapi teres setingkat, dan harganya dengan itu dapat diturunkan kepada cuma RM80,000 seunit,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Perumahan Makmur Gahai Jaya, Mukim Hulu Jelai, dekat sini, pagi ini.

Selain itu, tiga buah syarikat pembinaan telah diberi tanggunjawab untuk membina projek ini iaitu Nilaitek (M) Sdn Bhd, Tiram Jaya Development dan Harapan Elit Sdn Bhd.

Reka bentuk Rumah Makmur Gahai Jaya

Dijangkakan, keluasan tapak rumah bagi Perumahan Makmur Gahai Jaya ini adalah 1,300 kaki persegi dan keluasan binaan adalah 800 kaki persegi.

Rupa dalam rumah yang lengkap dengan 3 bilik dan 2 bilik air.

Setakat 31 Ogos 2019, Kerajaan Negeri telah meluluskan 21 projek dengan 7,088 unit Rumah Makmur, yang meliputi tujuh daerah iaitu Kuantan, Temerloh, Bera, Maran, Jerantut, Lipis dan Rompin.

“Bagi daerah-daerah lain iaitu Bentong, Cameron Highlands, Pekan dan Raub, In Sya Allah, projek Rumah Makmur yang sama akan dimajukan juga kelak, demi manfaat penduduk-penduduk yang memerlukan di daerah-daerah ini.

Bagi daerah-daerah ini saya berharap, penduduknya dapat bersabar, yang lambat-laun projek Rumah Makmur ini akan turut diadakan di sana,” katanya lagi.

Oleh: Admin

 

 

Leave a comment