RAKYAT PERLU TEROKA BIDANG EKONOMI DIGITAL

RAKYAT PERLU TEROKA BIDANG EKONOMI DIGITAL

 

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika berucap di East Coast Digital Transformation Summit 2019 di Zenith Hotel, Kuantan.-FOTO UKOMP

KUANTAN 17 OKTOBER 2019: Kerajaan Negeri menggalakkan supaya rakyat di negeri ini membuat inovasi atau mencipta aplikasi yang baru terutamanya yang boleh menjana pendapatan lumayan kepada mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata, ekonomi digital negara kini semakin berkembang pesat dan rakyat perlu mengambil peluang yang ada ini untuk menjana pendapatan mereka.

“Contohnya, pada masa kini banyak syarikat penghantar makanan dalam talian sedang berkembang pesat di negara ini,” katanya dalam sidang media selepas program East Coast Digital Transformation Summit 2019 di Hotel Zenith di sini hari ini.

Beliau berkata, sekiranya rakyat kreatif dalam menghasilkan sesuatu aplikasi perkhidmatan baru dan sekaligus menjana pendapatan melalui digital ekonomi.

“Kita harap rakyat Pahang bukan hanya menggunakan teknologi tetapi mereka mampu mencipta sesuatu baru dalam digital ekonomi.

“Jadi, kita tidak akan bergantung sepenuhnya kepada pendapatan sedia ada seperti perlombongan, pembalakan, perhutanan dan sebagainya dalam usaha meningkatkan pendapatan di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berharap Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) dapat memainkan peranan mereka mencipta sesuatu baru pada masa akan datang.

“Pada hari ini kita dapat lihat 10 penuntut UCYP terlibat sebagai teknologi ambassador bagi membantu syarikat teknologi maklumat untuk memberi penerangan berkenaan teknologi.

“Jadi peluang ini dapat meningkatkan pengetahuan mereka dalam bidang teknologi dan mengasah kemahiran mereka dalam bidang pembentang,” katanya.

Oleh: Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

Leave a comment