RM1.2 Billion Telah Dibelanjakan Untuk Pendidikan Anak-Anak Pahang

Kuantan: Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang telah membelanjakan kira-kira RM1.2 billion kepada anak-anak Pahang untuk membiayai biasiswa, pinjaman pendidkan; dan program-program pendidikan, sukan, kebuayaan dan kemasyarakatan.
Sejak tahun 1983 hingga Disember 2018, seramai 1.5 juta penerima yang terdiri daripada pelbagai peringkat di semua lapisan masyarakat telah mendapat manfaat daripada pelbagai program oleh Yayasan Pahang.
“Sejak dahulu kepemimpinan kerajaan negeri memikirkan bahawa pendidikan itu penting. Sesebuah negeri yang ingin maju, pendidikan kita letak di tempat pertama.
“Rakyat perlu berilmu kalau ingin majukan negeri, sebab itu kerajaan negeri mencari ruang dan peluang bagi memastikan penduduknya mendapat pendidikan,” kata Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan pada Majlis Penyampaian Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) Parlimen Kuantan oleh Yayasan Pahang dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar Pahang di sini Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, semalam.
Pada majlis tersebut, seramai 2,904 pelajar dari 30 buah sekolah menengah di Daerah Kuantan menerima BSM melibatkan implikasi kewangan lebih RM871,000 yang merupakan bayaran penggal kedua bagi tahun ini berjumlah RM300 seorang.
Turut hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Nawawi; Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Inderapura, Datuk Seri Shafik Fauzan Shariff; ADUN Tanjung Lumpur, Rosli Abdul Jabar dan Pengerusi Penyelaras Program, Datuk Seri Abd. Hamid Nazahar.
Sumber: Utusan
Oleh: Admin