Sejarah baharu ECRL ditambah baik bermula

Sejarah baharu ECRL ditambah baik bermula

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (tiga dari kiri) bersama Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (empat, kiri) selepas melawat terowong pada Majlis Pelancaran Semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Tapak Terowong Dungun, Bukit Bauk hari ini. Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (terlindung) dan Duta China ke Malaysia Bai Tian (kanan). Sumber-UTUSAN ONLINE/ AZLAN BAHRUM

DUNGUN 25 Julai – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 640 kilometer yang dilancarkan semula hari ini dengan beberapa penambahbaikan bakal menjadi infrastruktur nasional dalam memacu pertumbuhan negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sejarah baharu ECRL yang ditambah baik kini bermula dan projek bernilai RM44 bilion yang dijangka siap pada Disember 2026 itu akan turut merangsang pelaburan baharu di samping pelbagai pembangunan lain.

Katanya, jajaran baharu ECRL dari Kota Bharu di Kelantan dan berakhir di Pelabuhan Klang di Selangor akan melalui sebanyak 20 buah stesen, dengan 14 stesen terdiri daripada stesen penumpang, lima stesen gabungan penumpang dan kargo di samping satu stesen untuk tujuan kargo.

“Pelancaran semula hari ini membabitkan Seksyen B dari Dungun ke Mentakab yang tidak melibatkan sebarang perubahan jajaran.

“Bagi Seksyen A (Kota Bharu ke Dungun) terdapat beberapa perubahan jajaran berikutan tanah yang tidak bersesuaian manakala jajaran yang banyak ditukar adalah di Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang dan tentunya akan ada terowong baharu yang dibina di laluan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran semula projek ECRL di tapak terowong Dungun di Bukit Bauk di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian; wakil Menteri Besar Pahang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman; wakil Menteri Besar Kelantan merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri, Abdul Rahman Yunus di samping Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Projek ECRL bagi Seksyen B sepanjang 223 kilometer memberi tumpuan kepada pembinaan terowong dan jambatan untuk tempoh hingga 12 bulan akan datang.

Sumber: Utusan Online

Leave a comment