Sejarah Pahang: Pembanteras Pemujaan ‘Penunggu Laut’
Ketika orang-orang Melayu pada zamannya begitu taksub melakukan amalan khurafat, Dato’ Haji Muhammad Taib Bin Haji Hassan lantas bangkit menentang dan membanteras kepercayaan karut tersebut.
Antara khurafat cukup ketara ialah melakukan penyembahan dengan menyembelih seekor kerbau balau bila nelayan turun ke laut untuk menangkap ikan.
Ini kononya bertujuan memuja ‘penunggu’ laut dengan harapan mendapat hasil yang banyak.
Penentangan ini beliau lakukan dengan menyampaikan secara lantang syarahan-syarahan di masjid, surau dan melalui Radio Kuantan (RMK) serta saluran lain, dengan mengemukakan nas serta hujah-hujah bernas lagi meyakinkan demi menentang amalan sesat itu.
Sebagai seorang mufti, Dato’ Haji Muhammad Taib sememangnya juga menentang keras amalan-amalan berubat secara bomoh berjin iaitu dengan cara bertudung kepala sambil menggeletarkan badan serta memanggil-manggil ‘penunggu’ di laut dan belukar untuk mengubat pesakit.
Upacara ini diiringi paluan rebana oleh pembantu-pembantu yang dinamakan panduan.
Turut dibasmi amalan membuang ancak dan lain-lain bentuk khurafat.
Mufti Pahang Keenam (1982-1997)
Dato’ Haji Muhammad Taib Bin Haji Hassan
Dato’ Haji Muhammd Taib dilahirkan pada 27 Mei 1929 di Kampung Benta, Mukim Langgar, Pekan. Beliau mula bersekolah di Sekolah Melayu Kampung Benta. Kemudiannya, menyambung kelas Ibtidaie di Kuliah Sultan Abu Bakar sehingga tahun 1947.
Semasa belajar di kuliah, beliau turut belajar di pondok di Kampung Mengkasar, Pekan. Gurunya ialah Tuan Haji Muhammad Daud Bin Haji Zainal Abidin, Tuan Haji Osman Bin Haji Muhammad Daud dan beberapa orang guru lain.
Kemudiannya beliau menyambung pelajara ke kota suci Mekkah di Sekolah Maahad Kerajaan Saudi sehingga mendapat Diploma Pendidikan. Semasa di sana juga beliau belajar di Masjidil Haram. Antara gurunya ialah Syed Alwi, Sheikh Hassan Masad, Syed Amin Kutubi dan Sheikh ABdul Kadir Mandiling.
Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar dalam bidang undang-undang dan syariah dengan mendapat bantuan biasiswa daripada Muktamar Islam dan beliau juga belajar di Kuliah Adab Jamaah, Kaherah. Semasa menuntut di Mesir, beliau sempat melawat beberapa buah negara Arab termasuk Palestin.
Setelah mendapat Ijazah Sarjana Muda daripada Universiti Al-Azhar, beliau kembali ke tanah air pada tahun 1965. Pada mulanya beliau bertugas sebagai guru di Kuliah Sultan Abu Bakar, Pekan dan pernah memangku jawatan guru besar. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pegawai Penerangan dan Dakwah Negeri Pahang yang pertama.
Dato’ Haji Muhammad Taib berkahwin dengan Habsah Binti Yaacob dan dikurniakan Allah 11 orang anak, dua daripadanya menuntut di Universiti Al-Azhar – seorang lelaki dan seorang perempuan.
Sumber: Buku Tokoh-Tokoh Ulama’ Pahang