SEKOLAH PERLU BERJAGA-JAGA SIMPTOM DI KALANGAN PELAJAR

SEKOLAH PERLU BERJAGA-JAGA SIMPTOM DI KALANGAN PELAJAR

KUANTAN, 14 JANUARI 2020: Pihak pengurusan sekolah di negeri ini diminta berwaspada terhadap ancaman penularan Influenza A selain meningkatkan langkah berjaga-jaga terhadap gejala serta sintom penyakit itu.

Pengarah Pendidikan Pahang, YH. Dato’ Dr. Haji Tajuddin Mohd Yunus berkata, pengurusan sekolah juga perlu mengingatkan ibu bapa dan pelajar di sekolah masing-masing supaya mengambil langkah pencegahan bagi mengelak penyebaran virus berkenaan.

“Sekolah, ibu bapa dan pelajar diminta mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti minum air mencukupi dan membasuh tangan dengan betul bagi mengurangkan risiko terkena jangkitan virus Influenza A ini,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan, seramai 10 pelajar dari 10 sekolah di Negeri Pahang disahkan dijangkiti influenza sejak 7 Januari dengan Kuantan mencatatkan paling ramai sebanyak lima kes, diikuti Cameron Highlands dengan dua kes dan masing-masing satu kes bagi daerah Jerantut, Bentong dan Raub.

Bagaimanapun, daripada 10 daripada kes terbabit, hanya lapan kes disahkan Influenza A dan lima daripada mereka telah dibenarkan pulang, manakala tiga lagi masih menerima rawatan dan dua lagi dikuarantin di rumah.

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya mengkuarantin anak mereka yang tidak sihat di rumah mereka bagi mencegah penyebaran penyakit kepada rakan-rakan lain di sekolah.

“Selain itu, ibu bapa juga perlu lebih prihatin dengan membawa anak-anak mendapatkan rawatan dan pemeriksaan bagi mengenalpasti sama ada penyakit berpunca daripada Influenza A atau pun tidak.

“Namun sehingga kini jumlah pelajar yang dijangkiti virus itu tidak berubah dan kekal seperti semalam,” katanya.

Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

#MajuTerusPahang
#Pahang1st
#KerajaanNegeriPahang
#PahangGo

Leave a comment