Setahun Kepimpinan Tok Wan sebagai MB Pahang

Setahun Kepimpinan Tok Wan sebagai MB Pahang

 

Pejabat Menteri Besar, 15 Mei: Hari ini, genaplah setahun Negeri Pahang ditadbir oleh Menteri Besar yang ke-15 iaitu Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail.

Memikul tanggungjawab sebagai Menteri Besar yang baru pada zaman Malaysia ‘Baru’ bukanlah mudah lebih-lebih lagi dalam keadaan Negeri Pahang yang kini berada dalam status pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) telah memberikan cabaran yang besar kepada beliau.

Namun, setelah setahun mentadbir negeri, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dan cukup membanggakan.

Selain mudah didekati rakyat, tidak banyak bercakap tapi lebih kepada kerja telah menjadikan beliau sebagai seorang pemimpin yang disegani bukan sahaja dalam kepimpinan kerajaan malahan politik juga.

Perubahan Demi Rakyat

Mengimbau kembali setahun selepas bergelar Menteri Besar, pada ketika itu belum sampai tiga bulan selepas perlantikan, beliau telah melakukan perubahan pertama dengan mengumumkan penurunan kuasa bagi kelulusan kebenaran (consent) berkaitan pindah milik dan gadaian tanah.

Sebelum ini, kuasa bagi kelulusan kebenaran ini berpusat kepada Pihak Berkuasa Negeri atau Menteri Besar, tetapi kini diturunkan hingga ke peringkat Pejabat Daerah dan Tanah di daerah masing-masing.

Kesannya, kelulusan kebenaran pindah milik dan gadaian tanah boleh dilaksanakan dalam tempoh satu hingga dua hari sahaja bagi kebenaran pindah milik dan gadian bagi tujuan kasih sayang melibatkan suami-isteri, anak-beranak dan juga waris qadim.

Manakala bagi kebenaran pindah milik dan gadian yang melibatkan pindah milik kepada Melayu, dilaksanakan dalam tempoh 10 hari bekerja daripada tarikh dokumen lengkap diterima.

Melalui penurunan kuasa ini, ia telah membantu pelbagai pihak terutamanya rakyat kerana telah menjimatkan masa yang dahulunya memakan masa melebihi tiga hingga empat bulan, dan ada juga sehingga bertahun-tahun.

Aduan Rakyat

Setiap keluh resah dan permasalah yang dihadapi rakyat perlulah didengari dan diambil tindakan.

Memahami dengan permasalahan ini, Wan Rosdy telah membina sebuah saluran atas talian bagi rakyat melaporkan setiap masalah yang berlaku di setiap pelosok kampung dan daerah di Negeri Pahang ini.

Aduan-aduan ini kemudiannya akan ditapis dan disampaikan terus kepada pihak atau jabatan berkaitan bagi mendapat tindakan serta merta.

Sehingga akhir tahun 2018, lebih 490 aduan telah diterima dan daripada jumlah tersebut, 312 aduan telah dijawab dan diselesaikan.

Sasaran Kutipan Hasil Tanah

Sebagai inisiatif lain bagi meningkatan ekonomi negeri, Dato’ Sri Wan Rosdy telah menetapkan sekurang-kurangnya 90 peratus Indeks Pencapaian Utama (KPI) bagi kutipan hasil tanah.

Impaknya, dalam tempoh Januari hingga April tahun ini, jumlah kutipan hasil tanah ialah kira-kira RM181.57 juta berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas yang berjumlah RM140.21 juta.

Kejayaan ini juga adalah usahasama setiap induividu-individu dalam jabatan Kerajaan Negeri terutama sekali kesemua 11 daerah Pejabat Tanah Dan Galian yang telah menggembeling tenaga bagi mencapai hasrat YAB Menteri Besar.

S-GLC Turut Menyumbang Kepada Negeri

Semenjak menjadi Menteri Besar yang baharu, beliau terus memberi fokus dan penekanan kepada peranan dan syarikat-syarikat milik kerajaan negeri (S-GLC) terutama sekali dalam menilai prestasi dan pendapatan tahunan yang diraih.

Pada tahun 2017 sahaja, kesemua lebih 40 S-GLC telah mencatatkan pendapatan kira-kira RM2.6 billion dengan keuntungan kira-kira RM565 juta.

Oleh yang demikian, sebuah badan khas yang akan kawal selia syarikat-syarikat milik kerajaan negeri ini telah ditubuhkan yang dikenali sebagai Pahang Corporation Sdn. Bhd.

Beliau turut menetapkan bahawa sebahagian daripada keuntungan syarikat-syarikat ini perlulah diserahkan kepada Kerajaan Negeri.

Katakanlah, 15 peratus dikenakan sebagai bayaran kepada RM565 juta keuntungan S-GLC itu tadi, maka Kerajaan Negeri akan memperoleh kira-kira RM84.75 juta.

Melakar Sejarah Baru

Selain daripada bijak mentadbir negeri, beliau juga boleh dianggap sebagai tokoh politik yang berjaya.

Turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO, beliau telah membuktikan ketokohanannya apabila BN berjaya memenangi kerusi Pilihanraya Kecil (PRK) kawasan Cameron Highlands pada 26 Januari lalu yang ketika itu beliau adalah ketua jenteranya.

Lebih membanggakan apabila BN menang besar pada PRK tersebut.

Namun begitu, kejayaan ini pastinya tidak akan dapat dicapai tanpa bantuan oleh pelbagai pihak terutamanya pihak Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang pertama sekali tidak meletakkan calon dan memberikan laluan kepada calon BN untuk bertanding.

Bermulanya daripada kerjasama BN dan PAS sewaktu PRK Parlimen Cameron Highlands inilah yang kemudiannya menjadi sebuah ikatan yang jujur dan kukuh antara kedua-kedua parti ini.

Kegusaran kepada urus tadbir oleh Kerajaan Pakatan Harapan dalam menangani beberapa isu terutamanya soal agama Islam dan bangsa Melayu, BN dan Pas telah sepakat untuk bersatu.

Pada 26 April 2019, negara telah menyaksikan Himpunan Perpaduan Ummah Pahang di Padang MPK1 Kuantan yang dihadiri lebih 10,000 penyokong dan pemimpin utama UMNO dan PAS- Datuk Seri Mohamad Hassan dan Datuk Seri Hadi Awang.

Barisan Kepimpinan UMNO dan PAS pada malam Himpunan Perpaduan Ummah Pahang.

Tidak hairanlah jika Negeri Pahang ini mampu berdikari kerana negeri ini mempunyai seorang pemimpin yang bukan sahaja mampu mentadbir kerajaan malah juga pandai mengambil hati rakyat.

Kalau memilih tempat mandi,

Yang pertama teluk yang kedua pantai,

Kalau memilih pemimpin di hati,

Pertama elok kedua pandai.

Oleh: Admin

 

 

 

Leave a comment