SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: PERUNTUKAN RM511 JUTA UNTUK NAIK TARAF EMPAT LOJI RAWATAN AIR
Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Mahathir Ali
KUANTAN, 17 NOVEMBER 2020: Kerajaan Pahang telah menyediakan peruntukan sebanyak RM511 juta untuk menaik taraf empat Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini sejak 2018 sehingga tahun ini.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, empat LRA berkenaan adalah LRA Jelai, Lipis; LRA Karak, Bentong; LRA Kechau, Lipis dan LRA Semambu Fasa 3 di sini.
“LRA Jelai melibatkan kos sebanyak RM20 juta, LRA Kechau (RM5 juta), LRA Karak (RM40 juta) dan LRA Semambu Fasa 3 membabitkan kos sebanyak RM446 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Cheka, YB. Encik Lee Ah Wong (BN) berkenaan usaha menaik taraf loji air bersih pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, dengan menaik taraf LRA Jelai dijangka akan dapat menyelesaikan masalah bekalan air secara holistik di beberapa kawasan ‘blackspot’ iaitu di Institut Pendidikan Guru Lipis, Taman Cheneras Jaya dan kampung sekitar.
“Status kini projek berkenaan adalah dalam peringkat pembinaan dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun 2021.
“Bagi projek menaik taraf LRA Karak pula, dijangka akan menyelesaikan masalah bekalan air di Kampung Jambu Rias, sebahagian Pekan Karak dan kampung-kampung sekitar. Projek kini dalam proses pembinaan dan dijangka beroperasi dalam tahun 2022,” jelasnya.
Katanya lagi, di LRA Kechau pula membabitkan projek membaik pulih cerun serta kerja-kerja berkaitan dan dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2021.
“Untuk LRA Semambu Fasa 3 pula, akan menyelesaikan masalah bekalan air di Kawasan Perindustrian Gebeng dan sekitarnya. Status terkini dalam peringkat kajian, kerja ukur dan penyiasatan tanah. Dijangka beroperasi pada 2025,” katanya. – PAHANGMEDIA