SIDANG DEWAN NEGERI : PAIP DAN KERAJAAN PAHANG TELAH DAPAT PERUNTUKAN RM2.1 BILION
Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan Kerajaan Negeri Pahang telah berjaya mendapat peruntukan sebanyak RM2.1 bilion daripada Kerajaan Persekutuan untuk memperbaiki Perkhidmatan Bekalan Air seluruh Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata peruntukan ini merupakan sebahagian daripada Pelan Transformasi PAIP yang dianggarkan kos sebanyak RM4 bilion.
“Pelan Transformasi PAIP menyasarkan keperluan anggaran kos sebanyak RM4 billion untuk memperbaiki Perkhidmatan Bekalan Air seluruh Pahang.
“Oleh kerana ianya melibatkan kos yang besar, perancangan ini perlu dilakukan secara berperingkat. Kos yang besar ini merangkumi keperluan untuk menjamin sumber air mentah, meningkatkan kapasiti Loji Rawatan Air, menaiktaraf sistem simpanan dan pengantian paip paip jenis Asbestos Cement disamping memastikan kadar non revenue water (NRW) yang mampan.
“Setakat ini, PAIP dan Kerajaan Negeri Pahang telah berjaya mendapat sejumlah peruntukan RM2.1 Billion yang telah diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Belanjawan Tahun 2022 semasa Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Dewan Negeri Pahang Darul Makmur, hari ini.
Beliau berkata kelengkapan infrastruktur untuk bekalan air adalah masalah diperingkat Persekutuan yang melibatkan semua negeri termasuk negeri ini.
“Permasalahan kelengkapan infra untuk bekalan air sebenarnya adalah masalah diperingkat Persekutuan dan melibatkan kesemua negeri termasuk Pahang. Perbelanjaan Pembiayaan Capital Expenditure (CAPEX) untuk menyempurnakan infra bekalan air memerlukan satu perbelanjaan yang amat besar.
“Menyedari keadaan ini Kerajaan Persekutuan memperkenalkan Program Pengstrukturan Semula Industri Bekalan Air. Penstukturan ini melibatkan penubuhan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang mana pembiayaan kerja kerja CAPEX, syarikat syarikat air negeri termasuk PAIP akan dilakukan dibawah PAAB,” katanya.
Tambah beliau, PAIP juga telah bercadang membina tangki pra-mendapan bagi tujuan mengatasi masalah kekeruhan air mentah yang terlampau tinggi.
“Bagi maksud pengurusan banjir pula, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) telah mencadangkan pembinaan Pre-Sedimentation Tank bagi tujuan mengatasi masalah kekeruhan air mentah yang terlampau tinggi iaitu melebihi 1000NTU hingga menyebabkan Loji Rawatan Air terpaksa dihenti tugas.
“Tujuan pembinaan pre-sedimentation tank adalah untuk memendapkan lumpur dan benda asing yang terdapat di dalam sungai sebelum di pam ke loji rawatan air.
“Kerajaan Negeri telah bersetuju dengan cadangan tersebut dan seterusnya melantik Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pahang (JPS) sebagai agensi perlaksana projek tersebut,” katanya. – PAHANGMEDIA