Suasana Meriah Masjid Temerloh Jaya

Suasana Meriah Masjid Temerloh Jaya

Antara suasana didalam Masjid Temerloh Jaya

Temerloh, 26 Nov- Melalui akhbar tempatan Harian Metro, telah memberitakan Masjid Temerloh Jaya (MTJ) penuh dengan jemaah pada setiap waktu solat termasuklah pada waktu Subuh.

Suasana yang meriah ini merupakan hasil inisiatif pihak pengerusan masjid yang proaktif sejak 3 tahun lalu dengan pelbagai aktiviti bagi mengimarahkan masjid menerusi pelan strategik 2016-2020.

Menariknya, masjid yang hanya mampu memuatkan 800 orang jemaah adakalanya tidak mampu menampung jemaah sehingga melimpah keluar pada sesetengah masa.

Menurut laporan akhbar itu lagi, Pengerusi MTJ, Dr Abdullah Ismail berkata, mereka menggunakan tagline Masjid TJ, Masjid Kita untuk menarik orang ramai, seterusnya membuatkan jemaah merasakan masjid itu kepunyaan mereka.

“Kami melakukan sebaran kepada semua ahli kariah menerusi khutbah Jumaat, pengumuman, kempen rumah ke rumah serta platform media sosial dengan menyelitkan motivasi melalui ayat al-Quran dan hadis mengenai kepentingan solat berjemaah.

“Masjid ini bukan saja tempat untuk beribadah, tetapi juga dijadikan pusat kegiatan penduduk dalam apa juga aktiviti bagi memastikan masjid ini menjadi tumpuan penduduk sekitar,” katanya

Katanya lagi, MTJ turut menubuhkan Pusat Khidmat Komuniti untuk menjaga kebajikan jemaah masjid termasuk pemberian bantuan kepada yang memerlukan, ziarah mesra serta bantuan persekolahan.

“Malah kami juga menganjurkan aktiviti sukan untuk golongan muda bagi menarik minat golongan berkenaan untuk datang ke masjid.

“MTJ tidak berdepan masalah kewangan kerana ramai pihak bersedekah dan berinfak menjayakan program serta agenda masjid,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Oleh: Admin

 

 

 

 

 

Leave a comment