‘The Al-Sultan Abdullah’s Diplomacy’
DEWAN WAWASAN 2020, RESORTS WORLD AWANA, GENTING HIGHLANDS, BENTONG – ‘The Al-Sultan Abdullah’s Diplomacy’ – inilah yang disembah-sebut oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengenai uniknya diplomasi KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam memerintah negara ketika ini.
“Jika sebelum ini, Patik ada menyembah-sebutkan tentang ‘the golf diplomacy’, kali ini Patik ingin mengambil kesempatan untuk menyembah-sebutkan tentang satu lagi ‘diplomasi’ yang lebih penting.
“Diplomasi ini ialah berkaitan dengan kekaguman Patik yang teramat sangat betapa terserlahnya pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, sungguhpun baharu beberapa bulan sahaja ditabalkan sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16.
“Kekaguman ini pula ialah kerana pelbagai acara rasmi dan tidak rasmi yang telah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku berangkat hadir, termasuklah yang secara ‘spontaneous’ seperti membantu rakyat kemalangan jalanraya; hingga terbit rasa kecintaan yang meluap-luap dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku.
“Dan inilah ‘diplomasi’ tinggi dan bersahaja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku yang mana, Patik pacal-pacal sekalian di negeri Pahang sudah lama sedar dan mengambil maklum mengenainya, tetapi mungkin hanya baru-baru ini diketahui dan disedari oleh rakyat-jelata negara.
“Dan inilah juga apa yang Patik hendak menyembah-sebutkan tentang ‘the Al-Sultan Abdullah’s Diplomacy’,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy dalam persembahan ucapannya pada Majlis Santapan Kelab Golf DiRaja Pahang (KGDP) 2019 – Jasamu Menggunung Sepanjang Hayat; Dikenang dan Disanjung’ malam Sabtu, 9 November di sini.
GANDINGAN SERASI – KDYMM SERI PADUKA BAGINDA RAJA PERMAISURI AGONG
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah bercemar duli berangkat serta menyempurna dan menyerikan lagi majlis anjuran KGDP ini.
Dengan diplomasi tahap tertinggi yang diserlahkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku ini sehingga telah menawan hati-nurani rakyat seluruh negara, Dato’ Sri Wan Rosdy turut menyembah-sebut betapa beliau penuh berkeyakinan, pemerintahan Baginda di negara ini, akan mencatatkan kegemilangan semata-mata.
“Apatah pula dengan gandingan serasi KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri di sisi, yang pasti dapat memantap dan menyerlahkan lagi kegemilangan tersebut, In Sya Allah,” sembah-sebut Dato’ Sri Wan Rosdy lagi.
Mengenai Majlis Santapan KGDP 2019 katanya, matlamatnya ialah untuk mengutip dana demi memenuhi Tabung KGDP, yang akan digunakan untuk secara terus-menerus dalam menambah-baik kemudahan Kelab, sekaligus dapat memberi keselesaan yang lebih kepada Ahli-ahli KGDP serta para pengunjungnya.
KGDP dengan keanggotaan kira-kira 1,300 orang katanya, ialah antara Kelab Golf yang berprestij bukan sahaja di Pahang malah di seluruh negara.
Sumber: Khabar Pahang