TIADA KENAIKAN CUKAI TAKSIRAN SELEPAS KUANTAN JADI BANDARAYA

TIADA KENAIKAN CUKAI TAKSIRAN SELEPAS KUANTAN JADI BANDARAYA

KUANTAN 21 NOVEMBER 2019: Kerajaan Negeri tidak akan menaikan cukai taksiran setelah Kuantan dinaik taraf sebagai bandaraya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, YB. Encik Abd. Rahim Muda berkata, walaupun bertaraf bandaraya, namun ia bukan penentu kepada kenaikan kadar cukai taksiran.

“Saya akui ada sedikit sebanyak kenaikan yang perlu ditampung oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), tetapi ia tidak memberi kesan kepada rakyat.

“Jadi, kerajaan Pahang membuat keputusan untuk tidak menaikkan sebarang cukai baharu yang akan dikenakan kepada rakyat,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, YB. Encik Andansura Rabu pada pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Sebelum itu, Encik Andansura ingin tahu faedah langsung kenaikan taraf bandar raya Kuantan kepada rakyat.

Encik Abd Rahim berkata,  status bandar raya juga dapat meningkatkan keyakinan pelabur untuk datang ke sini, sekaligus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kerajaan Pahang juga menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji impak kepada penduduk setempat sekiranya bandar ini menerima status bandaraya.

“Jawatankuasa itu diberi tanggungjawab menjalankan kaji selidik dan mengenalpasti isu berbangkit yang memberi kesan kepada penduduk di daerah ini.

“Walaupun kita menyedari banyak faedah bakal diperoleh jika Kuantan menerima status bandaraya, namun kita perlu mengambil kira pelbagai faktor terlebih dahulu.

“Antara yang paling dibimbangi ialah struktur sosial penduduk di pinggir bandar Kuantan ketika ini, kita tidak mahu ada pihak yang terpinggir atau tidak menerima sebarang keuntungan selepas Kuantan menerima status bandaraya,” katanya.

oleh: Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

Leave a comment