Tidak Ada Tandas Awam Untuk LGBT

Tidak Ada Tandas Awam Untuk LGBT

SHAHANIZA Shamsuddin ketika menjawab soalan lisan pada sesi soal jawab mengenai kemudahan tandas awam khas bagi golongan Lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Wisma Sri Pahang. – NSTP/Zulkepli Osman

Kuantan, 21 November – Kerajaan negeri tidak bercadang untuk memperkenalkan kemudahan tandas awam khas bagi golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, berkata setakat ini kerajaan negeri tidak melihat sebarang keperluan untuk menyediakan kemudahan berkenaan di Pahang.

“Kita tidak bercadang untuk memperkenalkan tandas awam khas kepada golongan LGBT dan tidak ada keperluan untuk berbuat demikian bagi kegunaan golongan berkenaan.

“Isu ini (LGBT) perlu diselesaikan dengan pendekatan yang sudah dan sedang dilaksanakan pihak berwajib, termasuk peranan dimainkan badan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan Pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Khairuddin Mahmud (BN-Pulau Manis) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14, yang ingin tahu mengenai keperluan menyediakan kemudahan tandas khas kepada golongan LGBT di Pahang.

Terdahulu, Shahaniza ketika menjawab soalan dikemukakan Khairuddin mengenai tindakan pihak berwajib bagi membanteras masalah sosial, termasuk LGBT serta isu ‘Mak Nyah’ di bandar Kuantan, berkata pihak Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sudah menjalankan operasi secara berterusan mengikut Seksyen 33 dan 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pahang 2013.

“JAIP sentiasa melakukan tugas penguatkuasaan dibantu agensi kerajaan lain dan NGO, bagi membanteras kegiatan ini daripada terus berlaku.

“Selain itu, pelbagai kegiatan dan program kesedaran atau pemulihan membabitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Persatuan Insaf Pahang juga diadakan seperti program Mukayyam sejak 2011 dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan diteruskan sehingga kini,” katanya.

 

Oleh: Nik Sukry Ramli | Sumber:Berita Harian

Leave a comment