Tidak Pertimbang Buka Kasino Di Pulau Tioman – MB Pahang

Tidak Pertimbang Buka Kasino Di Pulau Tioman – MB Pahang

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail

Kuantan, 19 November – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menegaskan kerajaan negeri tidak akan mempertimbangkan sebarang permohonan untuk membuka kasino di Pulau Tioman.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga tidak pernah bercadang menawarkan sebarang lesen perjudian atau kasino di destinasi pelancongan terkenal itu.

 

Perkara ini tidak akan diberi sebarang pertimbangan. Kita berharap pendirian kerajaan negeri dalam perkara ini adalah jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Sim Chon Siang (PH PKR-Teruntum) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Chon Siang bertanya mengenai cadangan memberikan lesen kasino kepada operator berminat dan status perancangan membina lapangan terbang di Pulau Tioman, dalam usaha menarik kedatangan pelancong untuk meningkatkan pendapatan negeri.

Menjawab lanjut, Wan Rosdy berkata, perancangan membina lapangan terbang di Pulau Tioman masih dalam proses perbincangan antara kerajaan negeri, Kerajaan Pusat dan pihak Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Beliau berkata, pertemuan membabitkan Menteri Besar dari Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor, sudah diadakan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, awal bulan ini, namun belum ada keputusan muktamad berhubung perkara itu.

“Sebenarnya, Menteri Besar Johor (Datuk Osman Sapian) ada membentangkan cadangan (untuk membina lapangan terbang di Mersing) dalam pertemuan baru-baru ini, namun ia ditolak kerana keutamaan ialah pembinaan lapangan terbang di sini (Pulau Tioman).

“Namun, belum ada kata putus berhubung pelaksanaan projek berkenaan, ia (pembinaan lapangan terbang) akan dilaksanakan kemudian,” katanya.

 

Oleh: Nik Sukry Ramli dan TN Alagesh | Sumber: Berita Harian

Leave a comment